Contoh Teks Forum Untuk ULBS Tingkatan 4

Contoh 1
TAJUK FORUM: ROKOK – SETIAP SEDUTAN MEMBAWA PADAH
Pengerusi : Bismillahhirahmannirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Warga dewan sekalian, bertemu kita lagi dalam gelanggang Forum Remaja. Topik kita pada hari ini ”ROKOK-Setiap Sedutan Membawa Padah”. Bersama saya adalah 3 orang ahli panel yang tidak asing lagi. Jangan ragu dan jangan risau kerana nampaknya warga dewan kita khususnya para jejaka tidak senang duduk melihat kejelitaan tiga orang ahli panel kita pada hari ini . Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama,saudari (nama). Selamat datang saudari. Seterusnya ahli panel kedua, ayu berbaju kurung saudari (nama). Selamat datang saudari. Dan di hujung sana, nampak pemalu tapi bijak berkata-kata, saudari (nama). Selamat datang juga buat saudari. Baiklah sebelum saya menyimpang lebih jauh , soalan saya pada panel pertama, apakah kandungan yang boleh kita dapati di dalam rokok?

Panel Pertama: Terima kasih kepada saudari pengerusi, Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Pengerusi : Terima kasih kembali kepada panel pertama kita. Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan bahawa teradapat 3 racun yang paling penting di dalam rokok iaitu tar, nikotin, dan karbon monoksida. Bolehkah saudari panel kedua menerangkan kenapa tiga bahan ini dianggap paling berbahaya?

Panel Kedua:Soalan yang amat menarik saya akan menerangkan satu persatu. Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Manakala Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan menyebabkan ketagihan. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya.Dan yang terakhir Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat.

Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua kita, sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa rokok itu sendiri boleh membawa kemudaratan terhadap diri.Jika dua panel kita tadi menerangkan tentang kandungan berbahaya yang terdapat di dalam rokok saya ingin meminta panel ketiga kita untuk menghuraikan apakah kesan yang boleh disebabkan oleh asap rokok pada perokok dan orang sekeliling?

Panel Ketiga : Terima kasih kerqna menjemput saya untuk berbicara dalam majlis forum ini, antara kesan asap rokok kepada perokok dan orang sekeliling ialah kanser paru-paru, trakea, bronkus, mulut dan esofagus (saluran pemakanan), di mana 90 peratus penyakit kanser paru-paru berpunca daripada tabiat merokok.Kajian saintifik juga menunjukkan bahawa terdapat lebih empat ribu bahan-bahan kimia yang terdapat pada asap rokok sebagai menyebabkan kanser. Perokok pasif ialah orang yang tidak merokok namun diistilahkan sebagai perokok kerana mereka menyedut asap rokok daripada perokok di sekeliling. Percaya atau tidak, risiko penyakit yang dihadapi perokok pasif berkali ganda lebih daripada perokok.

Pengerusi: Panel kita yang ketiga tadi menerangkan impak asap rokok pada perokok dan orang sekeliling daripada sudut kesihatan. Soalan saya kembali kepada panel pertama, bolehkan saudari jelaskan impak asap rokok atau rokok itu sendiri dari sudut ekonomi dan personaliti.

Panel Pertama:Daripada segi ekonomi, secara purata, perokok membelanjakan wang lebih kurang RM1,000 setiap tahun untuk merokok. Manakala rawatan perubatan dengan anggaran RM240 setahun. Ini bermakna perokok membazirkan wang mereka dengan banyak sepanjang hidup mereka. Oleh itu perbuatan merokok samalah seperti membakar duit sendiri. Kemudian daripada sudut personaliti, asap rokok meninggalkan bau pada rambut, baju, bibir kering, gigi berwarna kekuningan, manakala pernafasan yang berbau pula menjejaskan hubungan sosial.

Pengerusi: Pepatah Arab ada menyatakan bahawa tiada penyakit yang tidak boleh diubati melainkan maut. Kepada panel kedua bolehkah saudari jelaskan tentang kaedah yang betul untuk berhenti daripada tabiat merokok?

Panel Kedua:Terima kasih saudari pengerusi, di antara Kaedah Yang Betul Untuk Berhenti Merokok ialah pertama tetapkan tarikh untuk berhenti merokok. Anda juga mesti mengatakan pada diri anda bahawa "Aku bukan perokok". Selain itu anda mesti menumpukan apa sahaja yang anda lakukan untuk melupakan tabiat merokok. Sentiasa berfikiran positif juga penting. Anda juga perlu mendapatkan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.Yang paling penting adalah melawan keinginan untuk merokok.

Panel Pertama: Maafkan saya saudari pengerusi, saya ingin menambah sedikit apa yang dikatakan saudari panel kedua.

Pengerusi: Silakan saudari.

Panel Pertama: Terima kasih. Kita sedia maklum bahawa tabiat merokok dewasa ini bermula dariapada usia remaja lagi. Oleh itu ibu bapa adalah kaunselor terbaik kepada anak-anak yang merokok. Jangan dibiarkan sahaja mereka dengan tabiat ini. Kata orang sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan. Ibu bapa perlu menggunakan pendekatan yang tidak terlalu tegas dan tidak pula terlalu lembut. Anak-anak ini jangan diberikan bunga sahaja, atau hanya diberi rotan sahaja. Tetapi gunakan kedua-duanya, insyaallah akan berkesan pada jiwa mereka.

Pengerusi: Terima kasih saudari. Jika panel kedua kita tadi menyebutkan tentang kaedah berhenti merokok, saya pasti memang ramai yang tertanya-tanya tentang apakah pula faedahnya kepada seseorang individu walaupun saya rasa jawapannya sudah berlegar-legar di minda para penonton. Untuk mengusaikan kekusutan ini saya minta panel kita yang ketiga untuk menjelaskan faedah berhenti merokok.

Panel Ketiga : Diantara Faedah Berhenti Merokok ialah kita insyaallah akan hidup lebih lama selain itu kita juga dapat menghindari racun.Kemudian kita juga dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok.Keupayaan deria rasa dan bau kita juga akan meningkat, gigi lebih putih dan nafas lebih segar dan terakhir dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat.

Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi menyuakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar ” masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”. Nampaknya masa amat mencemburui kita, sebelum berakhir mari kita sama-sama menepuk tangan untuk diri sendiri kerana berjaya dan tekun mendengar perbincangan kita hari ini.(tepuk tangan).Kesimpulannya tabiat merokok perlu dihentikan kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan diri kita tetapi juga orang lain. ”pengayuh sudah ditangan perahu sudah di air ” fikir-fikirkan dan jangan sekali berhenti berfikir!! Usah menepuk dada menanya selera tetapi tepuklah dahi, bukalah minda, dan fikir-fikirkanlah!!rokok setiap sedutan membawa padah!!! Terimalah serangkap pantun indah daripada saya

Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Salam hormat, ceria-ceria selalu. Akhir kalam,

Orang putih, orang Pakistan,
Terima kasih syukran jaziilan.

Wabillah hitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh.










CONTOH 2
TAJUK FORUM : MENDISIPLINKAN PELAJAR: TANGGUNGJAWAB SIAPA?
Pengerusi : Bismillahhirahmannirrahim, AlHamdulillahi robbil ‘alamiin, wassolatu wassalaamu ‘alaa asyrofil anbiyai wal mursaliin.. wa ‘ala alihi wa sohbihi ajma’iin.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Ukhwah, Salam Kasih Sayang dan Salam 1 Malaysia.

Warga dewan sekalian,
Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta limpah kurnia daripadaNya, dapat kita bertemu kita lagi dalam gelanggang Forum Remaja bersama saya ________________________ pada pagi/petang yang berbahagia ini.
Hadirin yang dirahmati Alah sekalian, sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita pada hari ini, kita sedia maklum, dewasa ini, masalah disiplin dalam kalangan pelajar boleh dikatakan berada dalam tahap yang agak membimbangkan semua pihak. Justeru, masalah ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Sesuai dengan tajuk forum kita pada kali ini Pendisiplinan pelajar: Tanggungjawab Siapa? Persoalan inilah kunci utama forum yang ingin kita gunakan sebagai pembuka pintu-pintu kecemerlangan pendidikan akhlak di sekolah khususnya dalam persoalan mengatasi masalah disiplin pelajar.

Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita berkenalan dengan tiga orang ahli panel kita pada hari ini. Jangan ragu dan jangan risau kerana warga dewan sememangnya tidak asing lagi dengan panel-panel kita pada hari ini.

Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama, saudara/saudari _______________________ yang merupakan __________________________ Apa khabar saudari?
Panel Pertama : AlHamdulillah sihat Cik Pengerusi. Cik Pengerusi macamana?
Pengerusi : Alhamdulillah, sihat juga.
Seterusnya ahli panel kedua, ayu berbaju kurung saudari/saudara____________________________, jawatan. Selamat datang saudari.
Dan di hujung sana, nampak pemalu tapi bijak berkata-kata, saudari/saudara _________________. Selamat datang juga buat saudara.

Sebelum saya menyimpang dengan lebih jauh, soalan saya pada panel pertama, apakah sebenarnya konsep tanggungjawab dan disiplin.

Panel Pertama: Terima kasih pengerusi yang cantik molek pekertinya membawa rasional persoalan. Terlebih dahulu, yang dihormati, barisan tetamu kehormat, kombinasi intelektual kehakiman, rakan-rakan panel yang lain dan seterusnya hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Pada pendapat saya, tanggungjawab dan disiplin tidak dapat dipisahkan dan sudah semestinya membawa kepada persoalan yang berkait dengan kawalan individu, pemimpin, masyarakat dan sebagainya. Kawalan inilah yang penting dalam menentukan jati diri, akhlak, serta kualiti yang ingin dicapai ataupun di tonjolkan. Ringkasnya tanggungjawab adalah rukun utama dalam pembentukan disiplin. Di sekolah, disiplin satu kawalan sosial bagi mewujudkan suasana tenteram supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan teratur dan lancar. Maka disinilah terletaknya tanggungjawab yang digalas oleh semua pihak yang terlibat dengan disiplin pelajar sama ada murid itu sendiri, guru disiplin, guru-guru, pihak pentadbiran mahupun ibu bapa atau masyarakat umumnya. Bagi masyarakat di luar sekolah, tanggungjawab dan disiplin adalah asas penting bagi membentuk kerukunan hidup selaras dengan norma, nilai dan aspirasi negara. Amanah yang dipikul dengan baik adalah tunjang kepada kawalan sosial yang baik. Namun tidak dinafikan, ramai juga masyarakat di luar sana menganggap tanggungjawab dan disiplin adalah suatu perkara yang sangat negatif iaitu merupakan masalah sosial dan tidak amanah sedangkan hakikatnya ia merupakan usaha yang perlu bagi memperbaiki etika dan gaya hidup bertamadun manusia. Contohnya orang Jepun yang membangunkan negara mereka setelah menjadi padang jarak padang tekukur dan kini merupakan negara moden seperti sekelip mata. Asasnya tidak lain dan tidak bukan adalah tanggungjawab dan disiplin yang hebat.

Pengerusi : Terima kasih kepada panel pertama kita atas lontaran konsep yang utuh lagi berisi. Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan bahawa, disiplin dan tanggungjawab perlu bergerak seiring untuk mencapai tahap kecemerlangan yang maksimum. Ia boleh diibaratkan sebagai irama dan lagu, iaitu tidak sempurna disiplin tanpa tanggungjawab, dan tanpa tanggungjawab, disiplin tidak akan dapat dibentuk. Justeru, saya ingin menanyakan persoalan seterusnya kepada ahli panel kita yang kedua, apakah asas kepada pendisiplinan pelajar agar kecemerlangan secara holistik dapat dicapai?



Panel Kedua: Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada hari ini. Bismillah.. Baiklah sebenarnya, latar belakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. Saya berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat pendisiplinan terletak di bahu ibu bapa. Seharusnya, pihak ibu bapa perlu sedar akan kepentingan hubungan yang erat dengan guru-guru di sekolah. Perjumpaan berkala di antara ibu bapa para pelajar dengan pihak sekolah perlu diadakan sekerap yang boleh. Tindakan ini amat penting kerana ianya boleh menjadi medium perbincangan prestasi dan disiplin anak-anak mereka di sekolah. Hal ini amat signifikan kerana sekiranya golongan ibu bapa mengambil remeh tentang masalah disiplin anak-anak mereka di sekolah, golongan anak-anak itu akan merasa bebas dan terbiar sehingga menyebabkan mereka membuat tindakan yang bertujuan untuk mendapatkan perhatian seperti melawan guru, ponteng kelas, ponteng sekolah, membuli dan sebagainya yang mana hal ini akan menambah dan meningkatkan masalah kes disiplin di sekolah. Oleh itu, pihak ibu bapa dan guru di sekolah perlu mengadakan hubungan yang baik supaya segala masalah yang berkaitan dengan pelajar dapat diselesaikan “sebelum nasi menjadi bubur”.
Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua atas pandangan yang amat bernas sebentar tadi. Sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa sebenarnya terdapat banyak asas pendisiplinan yang boleh diimplementasikan untuk mengawal masalah disiplin pelajar di sekolah. Jika dua orang panel kita tadi menerangkan tentang konsep tanggungjawab dan disiplin serta menghuraikan dengan selengkapnya tentang asas-asas pendisipinan pelajar, saya ingin meminta pendapat panel ketiga tentang persoalan ‘Pendisiplinan pelajar, sebenarnya terletak di bahu siapa’? Dipersilakan..

Panel Ketiga : Bismillah...Terlebih dahulu, terima kasih kerana menjemput saya untuk berbicara dalam majlis forum ini. Untuk menjawab persoalan ini, umum sedia maklum, isu-isu berkaitan dengan masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah sering diperkatakan pada masa kini dan menjadi fokus media massa. Buktinya, pada 5 Ogos 2007, berita penangkapan kanak-kanak berumur 12 tahun yang dituduh terlibat dalam kejadian menculik dan merogol wanita berumur 30 tahun berulangkali secara bergilir-gilir telah disiarkan di Buletin 1.30.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Dengar-dengarkan pantun ini :
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Pantun empat kerat tadi membawa maksud menuntut ilmu biarlah dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh. Jika tidak, ilmu yang dituntut akan hilang atau sia-sia begitu sahaja. Manusia dituntut mencari ilmu sehingga ke akhir hayat. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
"Sesungguhnya menuntut ilmu itu merupakan kewajipan bagi setiap Muslim.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
Ilmu diperoleh daripada pelbagai sumber antaranya melalui pembacaan, penelitian, pentaakulan belajar daripada pengalaman lepas serta yang paling utama menuntut ilmu daripada seseorang yang pakar dalam bidang tertentu yang digelar guru. Konsep guru merujuk kepada seseorang yang mengajar dan mendidik sama ada untuk mencapai kejayaan akademik atau kemuliaan akhlak. Guru ada di mana-mana. Ibu bapa boleh menjadi guru yang paling baik buat anak-anaknya. Seorang kakak atau abang boleh menjadi guru kepada adik-adiknya.
Masyarakat juga boleh bertindak sebagai guru sekiranya wujud kerencatan dalam kelompok sosialnya. Hakikatnya, semua orang bertindak sebagai guru dalam kehidupannya. Guru dalam konsep ini lebih kepada tugas ingat-mengingati, saling mencerna pemikiran melalui pengalaman, mendidik dan mendisiplinkan diri sendiri dan orang lain serta mengajar sesuatu yang berlaku dalam hidup dengan penerimaan yang baik. Maka pendapat saya tidak lain dan tidak bukan adalah tanggungjawab didikan tidak kiralah daripada ibu bapa, guru, masyarakat, media massa dan semua yang terlibat adalah bertanggungjawab dalam pembentukan disiplin iaitu pendisiplinan pelajar. Seperti kata-kata sahabat Rasulullah SAW tentang penilaian baik masyarakat ( muslimin ) adalah baik pada Allah SWT dan sebaliknya jika penilaian buruk maka buruklah bagi Allah SWT.

Pengerusi: Sungguh intelektual pemikiran saudari panel kita yang ketiga. Memang tidak dapat disangkal lagi, semua pihak harus bekerjasama bagi mendisiplinkan atau memantapkan akhlak pelajar pada masa kini bak kata pepatah “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.. Tetapi saya ingin bertanya secara ringkas tentang pendapat ahli panel kita pada hari ini, siapakah yang sebenarnya menggalas tanggungjawab utama bagi mendisiplinkan pelajar di sekolah? Saya persilakan panel kita yang pertama dahulu untuk memberikan sedikit ulasan.

Panel Pertama: Terima kasih kepada pengerusi atas persoalan yang diujarkan. Pada pendapat saya, pihak yang menggalas akauntabiliti utama dalam mendisiplinkan pelajar adalah golongan ibu bapa. Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Hal ini disebabkan ibu bapalah yang sentiasa memerhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Di samping itu, golongan ibu bapa mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk mendidik anak-anak mereka sejak berada di dalam kandungan lagi. Di samping itu, ibu bapa juga perlu meningkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, menunjukkan keperibadian yang mulia, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Justeru, Ibu bapa hendaklah menjadi “role model” kepada anak agar anak-anak tidak kehilangan arah dan menjadi insan yang berilmu dan beragama, penyumbang kepada kemantapan ummah seantero dunia, insya-Allah.

Pengerusi: Begitu hebat kata-kata atau pendapat yang diutarakan oleh panel kita sebentar tadi. Diharapkan ianya dapat dijadikan pegangan dan panduan oleh golongan ibu bapa di luar sana untuk mendidik anak remaja kita menjadi insan yang berilmu dan beragama, insya-Allah. Sekarang kita perdengarkan pula pendapat daripada panel kita yang kedua, secara ringkas tentang siapakah yang menggalas peranan utama dalam mendisiplinkan pelajar?


Panel Kedua: Terima kasih saudari pengerusi yang tidak kurang petah bicaranya. Pada pandangan saya, pihak yang menggalas peranan utama dalam mendisiplinkan pelajar ialah Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Hal ini disebabkan, dari sudut psikologi, peringkat remaja adalah peringkat paling berpengaruh dalam kehidupan mereka. Pada peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling diterima. Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan berbanding ibu bapa, guru atau orang dewasa lain. Oleh itu, pendekatan logikal ialah menggunakan remaja untuk mempengaruhi remaja lain. Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan syarat mereka dilatih dan diselia dengan teratur. Oleh itu, adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan latihan ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan juga ibu bapa. Insya-Allah, sekiranya ahli-ahli PRS menerima latihan secukupnya dalam menangani masalah disiplin pelajar di sekolah, insya-Allah, masalah disiplin ini akan dapat diatasi. Wallahu’alam.

Pengerusi : Begitu hebat sekali wacana yang dilontarkan oleh panel kedua kita sebentar tadi. Seterusnya persoalan terakhir untuk panel kita yang ketiga, masih berlegar dalam persoalan yang sama iaitu pihak manakah yang memegang tanggungjawab yang berat dalam mendisiplinkan atau memanusiakan insan pdelajar di sekolah kita pada haroi ini?

Panel Ketiga: Terima kasih kepada sadari pengerusi yang sentiasa aktif menanyakan banyak persoalan intelek. Baiklah, untuk menjawab persoalan ini, cuba kita renungi baris-baris akhir sebuah sajak yang berbunyi:
Jika hari ini siapa saja perosak bangsa;
Bermula dengan kegagalan guru kita
Cuai mengasuh generasi muda

Saya yakin sajak ini akan menguris hati seorang guru. Kalaupun tidak terpalit luka mungkin wujud juga sedikit rasa tersinggung mahupun kecewa lantaran dikatakan gurulah menjadi punca kepada kemunculan perosak bangsa. Namun itulah realitinya kehidupan hari ini. Kalau dulu guru merupakan individu atau kumpulan kecil masyarakat yang amat dihormati, situasi kini jauh berbeza. Kalau dulu, ramai yang mengakui bahawa ‘dewasanya seseorang itu adalah dimulakan oleh seorang guru biasa’, namun kini masyarakat lebih mudah menyalahkan para guru apabila hasil didikan tidak ‘menjadi’.
Menyedari tentang keretakan hubungan yang berlaku antara ibu bapa dan guru pada hari ini, ianya perlu diperhalusi dan dicari penyelesaian terbaik untuk mengembalikan kepercayaan ibu bapa kepada pihak sekolah umumnya dan guru khasnya. Hubungan yang erat antara guru dan ibu bapa amat penting agar masalah disiplin pelajar di sekolah dapat dikurangkan dan bukan semakin bertambah dan membimbangkan semua pihak. Justeru pihak yang paling menggalas beban berat untuk mengatasi masalah disiplin pelajar di sekolah adalah golongan ibu bapa, guru, pihak berwajib dan masyarakat sekeliling. Mereka ini seharusnya melakukan anjakan paradigma dengan lebih berfikiran positif, menerima kelemahan anak-anak mereka dan bersangka baik dengan guru-guru di sekolah.
Sekiranya hal ini dapat diwujudkan, insya-Allah, masalah disiplin dalam kalangan pelajar akan dapat diatasi bak kata kerana hanya dengan bekerjasama akan dapat melahirkan hasil yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi menyuarakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar ” masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”. Nampaknya masa amat mencemburui kita, sebelum berakhir mari kita sama-sama menepuk tangan untuk diri sendiri kerana berjaya dan tekun mendengar perbincangan kita hari ini.(tepuk tangan).
Kesimpulannya perkara yang berkaitan dengan masalah ini sebenarnya bukanlah suatu perkara yang patut kita pandang remeh. Setiap individu mempunyai tanggungjawab dalam membendung kemelut ini daripada terus menjadi barah.

Sebelum kita menuding jari kepada mana-mana pihak, elok kita renung-renungkan sejenak....
Lautan Itu Dunia,
Bahtera Itu Kita,
Kemudi Itu Agama,
Peliharalah Bahtera Daripada Karam Di Lautan Dunia


Sebelum mengakhiri bicara forum kita pada hari ini, terimalah serangkap pantun yang berbunyi:
Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Sekian sahaja untuk hari ini, terkasar bahasa, tersilap bicara, mohon dimaafkan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Yang Maha Pencipta, dan yang kurang elok itu datangnya daripada kekhilafan diri kami sendiri.
Wallahu’alam
Saya akhiri forum remaja kita pada pagi ini dengan lafaz yang mulia.
Wabillah hitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh








CONTOH 3
TAJUK FORUM: MELESTARI ALAM SEKITAR

Mutakhir ini, arus modenisasi menderaskan lagi pembangunan negara. Pelbagai projek sosioekonomi dijalankan dengan begitu rancak namun secara tidak sedar alam sekitar sudah terjejas. Satu kemelut yang terpaksa dihadapi oleh negara kita. Kita sebenarnya tersepit antara keinginan menjadi sebuah negara maju dengan alam sekitar yang perlu dipelihara, bak kata peribahasa “ditelan mati mak,diluah mati bapa”. Untuk melihat isu ini dengan lebih jelas, satu perbincangan ilmiah telah dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Sekitar Daerah Johor Bahru sempena kempen “Sayangi Bumi Kita”


Pengerusi: Assalamualaikum kepada hadirin sekalian. Saya Profesor Nasir Ibrahim mengucapkan selamat datang kepada semua yang ada di sini. Semoga kedatangan Tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis ilmu ini diberkati Allah S.W.T. Sempena kempen “Sayangi Bumi Kita” yang sedang berlangsung di seluruh negara, Persatuan Pencinta Alam Sekitar Johor Bahru mengambil kesempatan untuk bersama-sama membantu kerajaan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan alam ini kepada kita. Visual yang ditayangkan kepada kita sebentar tadi menunjukkan betapa hebatnya serangan pencemaran di seluruh dunia. Hal ini amat mengerikan kerana selama ini kita semua hidup dalam sebiji “belon” yang terlalu kotor.

Oleh itu, bagi membincangkan fenomena ini dengan lebih spesifik dan bermaklumat, penganjur telah menjemput tiga orang tokoh yang terlibat secara langsung dengan alam sekitar iaitu di sebelah kanan saya ialah Datuk Muhammad Hafiz Ali , Pengarah Jabatan Metreolagi Malaysia. Di sebelah kiri pula ialah Dr. Wong Xin Yi, aktivis pencinta alam yang sangat aktif di peringkat antarabangsa. Beliau bertugas sebagai sebagai pensyarah kanan di Jabatan Pembangunan Alam Sekitar , Universiti Sains Malaysia. Di hujung sana pula, Datuk Aisyamariam Ulza , Setiausaha Kerja bagi Kementerian Sains dan Alam Sekitar, Putrajaya.

Selamat datang semuanya ke majlis ini. Baiklah, semua yang berlaku mesti ada punca atau punca-puncanya, begitu juga dengan isu ini. Terlalu banyak pendapat yang diberi tentang pencemaran air, udara dan bunyi. Oleh itu, kita dengar pendapat Dr. Wong Xin Yi tentang persoalan ini. Silakan Doktor.

Dr. Wong Xin Yi: Terima kasih Profesor Nasir . Sebelum saya bincangkan tentang punca-puncanya, saya rasa lebih baik diterangklan terlebih dahulu maksud pencemaran. Pencemaran alam sekitar membawa maksud perbuatan mencemarkan alam sekitar dengan unsur-unsur yang kotor. Maka, sesuatu yang pada asalnya bersih dan dapat digunakan dengan baik dan selamat telah menjadi kotor dan mendatangkan mudarat apabila digunakan.

Antara punca yang diwartakan oleh sebagai penyebab pencemaran. terbahagi kepada dua jenis iaitu ;:Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi .Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi ialah pencemaran yang berlaku dengan sendirinya setelah berlakunya bencana alam seperti letusan gunung berapi, dilanda ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya
Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia . Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia ialah pencemaran yang dilakukan oleh manusia sama ada sengaja atau tidak sengaja . Antaranya ialah pencemaran udara. Contohnya, gas-gas beracun, zarah-zarah yang terperangkap hasil dari asap kenderaan, jerebu dari kesan pembakaran secara terbuka dan sebagainya. Pencemaran air,contohnya, pembuangan air kumbahan, sisa-sisa kimia, haba, pembuangan sampah dan sebagainya Pencemaran tanah,contohnya, pemusnahan hutan akibat pembalakan, pembuangan sisa-sisa kimia dan sisa-sisa pepejal .
Saya rujuk pencemaran akibat aktiviti manusia sebagai perbincangan. Di Malaysia, hampir 90%-95% kawasan pedalaman telah mempunyai sistem jalan raya ;bermakna jumlah kenderaan bermotor di negara kita telah meningkat secara keseluruhannya. Namun begitu, kenderaan bermotor merupakan penyumbang terbesar pencemaran udara di negara kita. Rujukan saya seterusnya ialah pencemaran laut; lebih 90% daripada punca pencemaran laut adalah disebabkan oleh aktiviti manusia dan baki 10% adalah berpunca dari sektor perkapalan . dapatan ini berdasarkan kajian Persatuan Pencinta Alam, bertajuk Tumpahan Minyak Yang Meracuni Perairan Malaysia, yang disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik (Mac), DBP, Kuala Lumpur, 1995, m.s.:53-55)
Bagi pencemaran tanah pula, saya rujuk pada penerokaan hutan. Hutan memang mempunyai nilai komersial dalam ekonomi negara. Hutan didapati membekalkan kayu balak dan kertas yang merupakan satu sumber penting bagi pendapatan mata wang asing . Di kawasan tropika, rotan dianggarkan menyumbangkan nilai tahunan sebanyak RM 1200 juta setahun dalam perdagangan dunia. Akan tetapi eksploitasi hutan yang melampau untuk tujuan pembalakan, pertanian, ternakan dan sebagainya telah mengakibatkan pencemaran alam yang sangat dahsyat .
Oleh itu, jelaslah pencemaran alam sekitar banyak dilakukan oleh tangan-tangan manusia berbanding kejadian pencemaran semula jadi seperti gempa bumi, letusan gunung berapi dan ribut taufan. Setakat ini sahaja pendapat saya tentang punca-punca pencemaran, saudara pengerusi.
 
Pengerusi: Terima kasih Dr. Wong Xin Yi kerana memberi pandangan yang bernas. Jika teliti, memang benar pencemaran banyak dicetuskan oleh manusia sendiri. Apabila keuntungan yang tergambar di hadapan mata, nilai-nilai murni tidak lagi menjadi pegangan . yang menyedihkan semua penduduk dunia merasai kesan negatifnya sedangkan yang melakukan kerosakan hanyalah segelintir manusia. Bagi melihat sejauh mana fenomena buruk pencemaran ini, kita tujukan permasalahan ini kepada datuk Muhammad Hafiz Ali. Silakan Datuk.

Datuk M. Hafiz Ali: Terima kasih saudara Nasir. Tentang kesan buruk pencemaran ini , saya berpendapat semua rakyat Malaysia telah mengetahui dan menontonnya di televisyen atau internet. Kesan yang amat dirasai sekarang akibat pencemaran udara ialah pemanasan global yang semakin meningkat dari hari ke hari. Pemanasan global telah mengubah cuaca dan sistem iklim dunia.Ribut taufan misalnya berlaku dengan amat kerap. Selain itu, berlakunya pencemaran serius secara global seperti kesan rumah hijau, permusnahan ozon dan hujan asid . Sementara itu, pengeluaran gas monoksida iaitu sejenis gas beracun yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup . Sejenis lagi unsur yang boleh terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis bahan kimia yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan otak terutamanya dalam kalangan kanak-kanak .
Seterusnya kita lihat pula kesan pencemaran air. Saya ambil bukti yang berlaku di Jepun iaitu Teluk Minamata, Jepun. Pencemaran toksik terdapat dalam air menyebabkan simptom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan penuturan yang tidak betul . Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut . Simptom yang disebabkan oleh keracunan raksa ini telah membabitkan beratus-ratus keluarga nelayan . penyalit ini seyerusnya dikenali sebagai penyakit Minamata .
Kesan daripada pencemaran yang berlaku bukan sahaja dialami oleh manusia bahkan turut memberi kesan kepada kehidupan yang lain . Antara kesan pencemaran yang banyak membunuh organisma laut di perairan cetek ialah kesan daripada tumpahan minyak ke laut . Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran persisiran pantai ia membentuk lapisan minyak yang mengancam kehidupan laut serta burung . Tumpuhan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton yang boleh mengurang pembiakan makanan laut . dalam jangka panjang akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan.
Antara kesan yang dianggap kronik ialah anomalia, iaitu pembesaran tubuh dan tingkah laku yang tidak normal, serta kurang daya ketahanan badan kesan penggunaan sumber air yang tersebut . Itu sahaja pendapat saya saudara pengerusi.

Pengerusi: Terima kasih Datuk. Nampaknya , kesan pencemaran ini bukanlah sekadar berlaku di negara kita. yang tidak diselia rapi . Oleh itu,beberapa langkah perlu dikenal pasti untuk mengatasi isu yang serius ini. Saya menjemput Datuk Aisyamariam Ulza memperkatakan langkah-langkah yang telah , sedang dan akan diambil oleh kementeriaannya.
 
Datuk Aisyamariam: Terima kasih dan assalamualikum semua. Apabila disebut Kementerian Sains & Alam Sekitar ini, yang tergambar ialah tindakan-tindakan yang pihak kementerian lakukan.
Antara langkah yang telah dilaksanakan ialah menggalakkan orang ramai menggunakan petrol tanpa plumbum bagi kenderaan bermotor. Mencari alternatif selain daripada minyak juga adalah penting bagi tujuan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dua bahan alternatif yang dicadangkan ialah gas asli (natural gas) dan Propana.
Dewasa ini, kajian bagi menghasilkan minyak enjin biomassa daripada tumbuh-tumbuhan sedang giat dijalankan. Contohnya di negara kita, ahli sains telahpun menemui sejenis minyak daripada kelapa sawit yang boleh mengurangkan pencemaran udara tanpa menjejaskan kecekapan enjin. Sungguhpun penemuan ini masih terlalu baru untuk dipastikan sama ada ia praktikal atau pun tidak, ia patut dijadikan satu titik permulaan bagi meningkatkan usaha kita ke arah mencapai konsep pembangunan berterusan yang perihatin terhadap persekitaran.
Di peringkat antarabangsa,buat masa ini pula, Malaysia dan Indonesia melalui ASEAN telah menyalurkan pandangan mereka mengenai isu-isu Selat Melaka . Satu rancangan yang dikenali sebagai Rancangan Kontigensi Kebangsaan Mengawal Tumpahan Minyak telah diadakan di Jabatan Alam Sekitar . Objektif kerjasama serantau ini ialah bagi merealisasikan kerjasama serantau untuk membolehkan satu tindakan serta-merta dijalankan bagi mengawal tumpahan minyak yang tertumpah di perairan Malaysia .
Demikianlah sahaja , antara langkah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kita bagi menangani isu ini.
 
Pengerusi: Demikianlah pandangan-pandangan daripada panel jemputan kita pada kali ini. Semuga , segala maklumat yang diperoleh dalam malis ilmu ini memberi banyak kesedaran kepada kita. Yang dapat disimpul ialah, pencemaran sebenarnya hasil kerja tangan-tangan rakus sebahagian daripada kita. Sewajarnya kita sedar akan bumi ini sahajalah tempat tinggal kita. Oleh itu sama-sama kita jaga dan pulih semula keindahan alam sekitar kita. Assalamualaikum.





Contoh 4
TAJUK FORUM : WARISAN BANGSA


Pengerusi: Selamat sejahtera saya ucapkan kepada para penonton yang setia berada di hadapan TV . Tajuk isu pada pagi ini ialah ”WARISAN BANGSA”. Apakah sebenarnya warisan bangsa yang tergambar dalam kotak fikiran kita? Apa pula kepentingannya sehingga kita perlu mempertahankan warisan bangsa ini? Akhir sekali , benarkah arus pemodenan yang dikatakan sebagai punca hilangnya penghargaan generasi sekarang terhadap warisan bangsa ini ?

Bagi membincangkan persoalan-persoalan yang dikemukakan , tiga orang tokoh telah dijemput, di sebelah kanan saya ialah Pengarah Arkib Negara iaitu Datuk Seri Atiq Azman. Di sebelah kiri saya, Presiden Yayasan Belia Negara, Dato’ Afiq Agos dan di hujung sana ialah, Budayawan Negara, Datuk Radin Syamel.

Bagi mendapatkan takrifan yang tepat tentang warisan bangsa, amat sesuai sekali jika Datuk Radin Syamel memulakan bicara kita pada pagi ini. Baiklah Datuk, apakah definisi yang paling sesuai untuk tajuk kita pada hari ini?

Datuk Radin Syamel: Terima kasih saudara pengerusi. Jika dilihat dari sudut budaya, warisan bangsa membawa maksud, apa-apa amalan dan cara hidup yang diamalkan oleh segolongan masyarakat. Misalnya, dalam masyarakat Melayu, terdapat pelbagai cara berpakaian iaitu dalam kalangan Melayu Jawa, kita dapati mereka memakai songkok bercorak batik tetapi di negeri Kelantan golongan lelakinya lebih gemar memakai ’kain semutar’. Dalam kalangan kaum Hindu sendiri terdapat pelbagai jenis kain sari yang mewakili pelbagai etnik dalam kaum India seperti yang dipaparkan di skrin LCD sekarang. Dalam budaya Cina pula, kita rujuk makanan yang dimakan oleh kaum Cina, ada makanan Cina ala-Hokkien, ada makanan ala-Hainan yang mempunyai sedikit kelainan.
Sementara itu, dari sudut sejarah, warisan bangsa pula menjurus pada peninggalan-peninggalan berbentuk bangunan sama ada bangunan-bangunan yang dibina oleh penjajah ataupun bangunan-bangunan nenek moyang kita yang terdahulu. Sebagai contoh, bangunan Muzium Abu Bakar Johor dan bangunan Sultan Ibrahim di Johor Bahru, merupakan sebuah bangunan binaan Inggeris yang dibina semasa pentadbiran British di Tanah Melayu. Kewujudan bangunan ini amat besar ertinya kerana dari aspek seni binanya, amat berlainan dengan seni bina Melayu pada masa itu. Selain menjadi bukti dalam sejarah Malaysia bahawa kita pernah dijajah oleh suatu kuasa asing.

Itu sahaja pandangan saya tentang maksud warisan bangsa.


Pengerusi: Terima kasih Datuk Radin Syamel. Baiklah penonton, begitulah takrifan ringkas tentang warisan bangsa. Jika dihalusi, warisan bangsa merupakan elemen penting untuk membina jati diri dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Lebih-lebih lagi, dalam jiwa generasi muda sekarang. Maka, kita dengar pandangan Datuk Seri Atiq Azman tentang kepentingan-kepentingan mengekalkan warisan bangsa kita. Silakan Datuk Seri.

Datuk Seri Atiq Azman: Terima kasih saudara pengerusi. Beginilah saudara pengerusi dan penonton, kita lihat kepentingannya dari aspek pembentukan jati diri terlebih dahulu. Saya fokuskan pada penggunaan bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda. Seperti yang dikatakan oleh Datuk Radin Syamel sebentar tadi, warisan budaya bermaksud seluruh cara hidup masyarakat. Jadi, salah satunya ialah penggunaan bahasa kebangsaan dan ibunda dalam masyarakat. Untuk membentuk jati diri yang tebal dan tulen, kita tidak dapat lari dari menghargai dan meletakkan bahasa kita di tempat paling atas. Lihat sahaja , negara-negara maju, baik Jepun, Korea, Perancis, Cina dan Jerman, rakyat di negara-negara tersebut amat bangga akan bahasa ibunda dan kebangsaan mereka. Namun , pada masa yang sama mereka merupakan gergasi ekonomi dunia misalnya, Jepun merupakan negara industri robotik paling canggih di dunia.

Yang dapat dirumuskan berdasarkan pendapat saya sebentar tadi ialah, semua negara maju amat menghargai, bangga dan memartabatkan bahasa ibunda dan kebangsaan masing-masing. Mereka mempelajari bahasa asing semata-mata untuk mendapatkan ilmu dan dibawa balik ke negara mereka untuk dimanfaatkan. Perlu diingatkan juga jika kita bercita-cita menjadi negara maju dalam acuan dan budaya kita sendiri, bahasa kebangsaan dan ibunda perlu dimartabatkan dengan bersungguh-sungguh. Bagi saya, bangsa yang tidak menghargai keunikan bahasa ibunda dan kebangsaan sendiri, sebenarnya amat longgar jati diri dan semangat patriotiknya.

Seterusnya, saya melihat kepentingan menghargai dan mengekalkan warisan bangsa ialah kesannya kepada anak-anak kecil dan remaja yang masih muda. Jika kita mahu generasi muda kekal dalam budaya hidup nenek moyang yang penuh dengan nilai-nilai ketimuran, maka warisan bangsa seperti adat resam , yang merangkumi cara berpakaian, makanan dan cara bermasyarakat perlu berterusan menjadi amalan. Bagi saya, bangsa berjaya ialah bangsa yang berjaya menjadi ikon dunia tetapi masih mengekalkan cara hidup nenek moyang yang positif. Saya rujuk,Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammed iaitu, beliau mahu Malaysia muncul sebagai negara maju beracuan sendiri. Tidak meniru mana-mana budaya negara lain. Maka, untuk merealisasikan impian ini, kita perlu pastikan warisan bangsa kita kekal menjadi ikon dalam diri setiap anak muda.
Itulah sahaja pandangan saya saudara pengerusi.

Pengerusi: Terima kasih Datuk, menarik sekali penjelasan sebentar tadi. Yang paling menarik ialah isu tentang kepentingan warisan bangsa ini kepada golongan muda. Namun begitu, yang kita semua lihat sekarang, warisan bangsa ini seolah-olah ditelan oleh arus pemodenan yang amat laju pergerakannya. Untuk melihat fenomena ini dengan lebih jelas, saya jemput Dato’ Afiq Agos untuk memberi pandangan beliau tentang gejala serius ini.


Dato’Afiq Agos : Terima kasih saudara pengerusi. Berbicara tentang arus pemodenan ini, kita tidak lari dari mengaitkannya dengan isu globalisasi. Jika, kita rujuk Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat , globalisasi membawa takrif , proses yang membolehkan sesuatu aktiviti ( sosial, ekonomi, kebuayaan dan sebagainya) disebarkan atau diperluas ke peringkat antarabangsa atau ke seluruh dunia, terutamanya dengan adanya kemudahan sistem komunikasi dan dasar terbuka. Jadi, dapat disimpulkan pengglobalisasian memang berupaya menghakis nilai-nilai hidup dalam masyarakat.

Dalam dunia yang tiada lagi sempadan, siapa-siapa yang kuat memang berupaya mengubah rupa bentuk masyarakat dunia. Saya ambil contoh, negara maju iaitu Amerika Syarikat yang dikatakan gergasi dalam semua aktiviti dunia, dari bidang sosial hinggalah ketenteraan. Masyarakat dunia cenderung melihat negara ini sebagai negara yang ideal untuk diikuti, agar sama-sama dapat bergelar masyarakat moden. Situasi ini banyak menempiasi generasi muda sehingga kita lihat pengagungan terhadap pakaian dari Barat amat dominan. Malah, dalam masyarakat Cina, kita dapati anak-anak mudanya jarang-jarang memakai pakaian Cheong Sam sebagai pakaian harian, malah tidak juga menjadi pilihan semasa Tahun Baru Cina. Bagi saya itu satu kerugian kerana pakaian merupakan salah satu identiti bangsa Cina selain bahasa ibunda.

Pengaruh modenisasi yang kedua terhadap warisan bangsa ialah kurangnya penghargaan terhadap nilai-nilai estetika sejarah negara dan seni pertukangan nenek moyang. Kita dapati kerakusan membina bangunan berciri moden telah hampir membenam keindahan seni bangunan tradisional. Jarang-jarang kita lihat masyarakat membina bangunan yang dihiasi ukiran budaya Melayu, Cina dan India. Sehinggakan pelbagai langkah diambil untuk mengekalkan pengetahuan ini dalam minda masyarakat seperti mewujudkan Taman Mini Malaysia di Air Keroh , Melaka. Di taman ini, barulah kita dapat mengenali rupa bentuk rumah-rumah tradisional rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Saudara pengerusi, itulah pendapat saya tentang perkara ini.

Pengerusi: Terima kasih Dato’. Begitulah pandangan-pandangan tajam daripada ahli-ahli panel kita . Saudara penonton, memang tidak dapat dinafikan bahawa, warisan bangsa amat perlu untuk dipelihara. Oleh itu, pelbagai usaha dilaksanakan bagi memastikan warisan budaya kita terus mendominasi kehidupan masyarakat. Saya amat tertarik dan kagum akan usaha Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood, isteri Perdana Menteri kita, yang berusaha gigih agar batik dan songket kembali segar dalam masyarakat. Begitu juga usaha mantan Menteri Pertanian, Datuk Seri Sanusi Joned yang bekerja keras mempopularkan makanan kampung iaitu ikan patin, ikan lampan, ikan talapia dan ulam-ulaman. Di bawah pengawasan Kementerian Pertanian pada ketika itu, pelbagai promosi dilakukan di hotel-hotel, di pasar-pasar tani dan pasar-pasar malam.Selain itu, usaha gigih kerajaan Melaka mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah di Banda Hilir , Melaka amat disyukuri. Hal ini kerana, Banda Hilir ialah mercu tanda sejarah negara kita. Semangat cinta akan negara sewajarnya berkobar-kobar dalam jiwa setiap generasi apabila melihat kesan-kesan peninggalan penjajah. Oleh itu, mulai hari ini, sama-samalah kita menghargai warisan bangsa kita. Hanya bangsa yang kenal jati diri ialah bangsa yang dihormati.

Sekian saja, rancangan SEMBANG PAGI. Saya sudahi dengan assalamualai’kum. Sehingga jumpa lagi.



 Contoh 5
TAJUK FORUM : INTERNET – BAIK BURUKNYA INTERNET  DALAM KALANGAN PELAJAR
Pengerusi : Bismillahhirahmannirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Warga dewan sekalian, bertemu kita lagi dalam gelanggang Forum Remaja. Topik kita pada hari ini ”INTERNET – baik buruknya Internet dalam kalangan pelajar”. Bersama saya adalah 3 orang ahli panel yang tidak asing lagi. Jangan ragu dan jangan risau kerana nampaknya warga dewan kita khususnya para jejaka tidak senang duduk melihat kejelitaan tiga orang ahli panel kita pada hari ini . Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama,saudari (NurMaizatul Akmam Matusin). Selamat datang saudari. Seterusnya ahli panel kedua, ayu berbaju kurung saudari (Halimaton Nadzirah Rahman). Selamat datang saudari. Dan di hujung sana, nampak pemalu tapi bijak berkata-kata, saudari (Najwa Mahmood). Selamat datang juga buat saudari. Baiklah sebelum saya menyimpang lebih jauh , soalan saya pada panel pertama, apakah maksud internet yang di uar-uarkan oleh remaja mahupun orang yang sudah berusia pada masa kini?

Panel Pertama: Terima kasih kepada saudari pengerusi, Internet bermaksud penghubung di antara pengguna-penggunanya . ramai yang menggunakn internet pada msa kini untuk bertujuan meninmba ilmu ataupun mencari pekerjaan. Walau bagaimanpun , internet ini dapat mendekatkan hubungan kita dengan keluarga atau sahabat-sahabat yang jauh di perantauan .

Pengerusi : Terima kasih kembali kepada panel pertama kita. Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan bahawa penggunaan internet dapat mendekatkan perhubungan di antara sahabat mahupun keluarga yang jauh di perantaun, bolehkan saudari terangkan bagaimana untuk mendekatkan perhubungan tersebut dengan menggunakn internet?

Panel Kedua: Soalan yang amat menarik saya akan menerangkan satu persatu. Seperti yang kita ketahui, masyarakat sekarang ramai yang menggunakan perhubungan yang sangat mudah untuk di gunakan. Banyak contoh yang terdapat di dalam penggunaan internet untuk menghubungkan talian tersebut. Seperti emel , facebook , myspace dan sebagainya . walaubagaimanapun , tidak ke semuanya menganggap penggunan komuniti ini bagus , ada juga yang menganggap ia sebagai satu benda yang buruk.

Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua kita, sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa internet adalah penghubung yang sangat mudah untuk di gunakan. Tidak semua penggunaan internet ini ada baiknya , tetapi sebelum kita bercerita lebih lanjut mengenai keburukan menggunakan internet , apa kata panel ketiga mengemukakan pandangan beliau mengenai penggunaan internet juga boleh digunakan untuk menimba ilmu atau mencari pekerjaan? Silakan saudari.

Panel Ketiga : Terima kasih kerana menjemput saya untuk berbicara dalam majlis forum ini, antara kebaikan penggunaan internet ini adalah untuk menimba ilmu atau mencari pekerjaan. Terdapat banyak laman web yang mengutarakan tentang pendidikan ataupun pekerjaan. Pada masa kini juga, ramai remaja yang hanya duduk di rumah sementara menunggu keputusan peperiksaan di keluarkan, tidak ada salahnya untuk mencari pengalaman bekerja sementara menunggu. Banyak masa yang terbuang jika remaja hanya duduk di rumah ataupun hanya duduk lepak bersama kawan tanpa arah tuju. Remaja boleh melayari internet untuk mencari pekerjaan. Walaupun ianya hanya sementara, tetapi sekurang-kurangnya masa itu tidak di buang begitu sahaja. Pepatah menyatakan bahawa Masa itu Emas, oleh itu kita harus sama-sama menghargai setiap detik yang berlalu dengan mengisikannya dengan benda yang bermanfaat.
Pengerusi: Panel kita yang ketiga tadi menerangkan bahawa internet juga menyediakan pekerjaan-pekerjaan untuk remaja yang sedang menunggu keputusan peperiksaan. Betul kata panel kita yang ketiga tadi, adalah lebih baik remaja mencari kerja sementara menunggu keputusan di keluarkan. Baiklah, itu antara kebaikan-kebaikan yang terdapat dalam penggunaan internet. Sekarang kita beralih pula kepada keburukan menggunakan internet. Soalan saya kembali kepada panel kita yang pertama, apakah antara keburukan yang terdapat dalam penggunaan internet?
Panel Pertama: Daripada sudut negetif pada penggunaan internet memang ada. Namun, ianya tidak harus dijadikan penghalang pada pelajar untuk menggunakannya. Banyak kes yang terjadi melalui internet. Antaranya penipuan melalui laman web yang kini kian bermaharajalela. Bagi yang tidak mengetahuinya, kemungkinan akan menjadi mangsa kepada sindiket penipuan ini. Mereka berkemampuan untuk mendapatkan wang mangsa dengan berbagai-bagai cara. Adakalanya ia berlaku di luar sedar mangsa. Ini kerana penganjur penipuan ini menggunakan taktik psikologi sehingga mangsa mempercayai dakwaan sindiket itu. Biasanya penipuan ini menghubungi mangsanya melalui emel yang biasa digunakan oleh para pelajar. Berikut adalah beberapa contoh penipuan yang boleh anda dapati melalui laman web.
Pengerusi: terima kasih atas pendpat panel kita yang pertama mengenai keburukan internet tersebut . kita sendiri dapat lihat , banyak penipuan yang berlaku dan disebarkan melalui internet . apakah contoh lain selain penipuan yang terdapat dalam internet , soalan ini saya ajukan kepada panel kita yang kedua . silakan .
Panel Kedua:Terima kasih saudari pengerusi, antara contoh lain yang terdapat dalam penggunaan internet ialah laman web yang yang berunsurkan pornografi. Pelajar zaman sekarang ramai yang mengetahui internet menyediakan laman web yang berunsurkan pornografi membuatkan pelajr rasa ingin mengetahui isi kandungnya. Ini adalah salah satu sebab kenapa di nyatakan bahawa internet juga ada buruknya. Tanggungjawab ibubapa harus ditekankan lagi bagi menjaga setiap perbuatan yang anak mereka lakukan. Ini semua akan menjejaskan pelajaran mereka. Otak mereka akan menjadi sempit dan cetek. Pengetahuan mereka hanya setakat itu sahaja. Mereka akan menumpukan pada laman web yang berunsurkan pornografi ini. Ibu bapa harus memantau anak-anak mereka semasa menggunakan internet.
Panel Pertama: Maafkan saya saudari pengerusi, saya ingin menambah sedikit apa yang dikatakan saudari panel kedua.
Pengerusi: Silakan saudari.
Panel Pertama: Terima kasih. Kita sedia maklum bahawa pelajar sekarang lebih social berbanding dengan pelajar dahulu. Sikap ingin lebih tahu tertumpu kepada mereka. Kita tidak boleh menyalahkan laman web yang menyediakan unsur-unsur sedemikian, tetapi ibubapa harus mendidik anak-anak mereka dengan lebih tegas. Penggunaan internet juga ada batasnya, ibubapa boleh menterhadkan penggunaan internet tersebut. Ibubapa boleh menghalang kemasukan untuk laman web yang berunsurkan benda negetif.
Pengerusi: Terima kasih saudari. Jika panel kedua kita tadi menyebutkan tentang laman web yang berunsur pornografi , saya pasti ramai yang ingin tahu apakah pendapat bagi panel kita yang ketiga mengenai keburukan menggunakan internet . silakan saudari .
Panel Ketiga : terima kasih. Saya amat bersetuju dengan pendapat yang diberikan oleh panel pertama dan kedua kita tadi. Bagi pandangan saya, terlalu banyak keburukkan yang terdapat dalam penggunaan internet tersebut. Bukan setakat penipuan atau pun laman web yang berunsurkan pornografi. Malah banyak lagi yang terdapat di dalam internet tersebut. Bagi saya, kita harus berhati-hati dengan menggunakan internet. Jika kita bijak menggunakannya, benda negetif yang terdapat di dalam internet tersebut tidak akan menjejaskan penggunaan yang baik.
Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi menyuakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar ” masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”. Nampaknya masa amat mencemburui kita, sebelum berakhir mari kita sama-sama menepuk tangan untuk diri sendiri kerana berjaya dan tekun mendengar perbincangan kita hari ini.(tepuk tangan).Kesimpulannya pengguaan internet bukan sahaja di sediakan untuk kebaikan , malah keburukkan juga terdapat dalam kandungan isi internet . ”pengayuh sudah ditangan , perahu sudah di air ” fikir-fikirkan dan jangan sekali berhenti berfikir!! Usah menepuk dada menanya selera tetapi tepuklah dahi, bukalah minda, dan fikir-fikirkanlah!! Internet merupakan pemangkin negara! Terimalah serangkap pantun indah daripada saya

Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Salam hormat, ceria-ceria selalu. Akhir kalam,

Orang putih, orang Pakistan,
Terima kasih syukran jaziilan.

Wabillah hitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh.










Koleksi Contoh Karangan Bahasa Melayu SPM: Bahagian 1

Aktiviti kokurikulum berperanan untuk melahirkan remaja yang berwawasan dan berdisiplin. Berikan pendapat anda tentang perkara tersebut.

Aktiviti kokurikulum merujuk aktiviti yang luar darjah yang melibatkan aktviti yang berpersatuan, lasak dan mungkin kemahiran tertentu. Kegiatan luar darjah ini berupaya untuk memberikan satu pperspektif baru kepada pelajar dalam menjalani kehidupan mereka di sekolah dan luar sekolah. Kelebihan kegiatan ini turut dipaparkan di dalam pelbagai media massa di negara ini yang membuktikan manfaat menyertainya. Jadi, pembabitan pelajar dalam kegiatan ini memang membawa pelbagai impak positif dalam kehidupan mereka.

Sebenarnya, aktiviti kokurikulum memberikan pelajar satu keyakinan diri yang hakiki menerusi pembabitan mereka dalam setiap aktiviti kokurikulum yang dijalankan itu. Keyakinan diri ini timbul kerana setiap kali berjaya melaksanakan sesuatu tugasan itu mereka akan menimba pengalaman yang memberi mereka satu jangkaan awal apabila melakukan aktiviti lain pula. Sudah pasti perasaan ini memudahkan mereka untuk menjalani kehidupan selepas sekolah yang lebih mencabar suasananya. Maka, penglibatan kokurikulum memang memberi manfaat kepada seseorang pelajar itu.

Selain itu, pelajar yang melibatkan diri dalam kokurikulum turut memiliki tahap disiplin diri yang tinggi dalam diri mereka. Pemilikan disiplin yang tinggi ini terhasil kerana semua aktiviti kokurikulum memerlukan seseorang pelajar itu mematuhi beberapa peraturan tertentu yang meliputii pakaian seragam, aktiviti, masa berlatih dan tempoh akhir untuk menyiapkan sesuatu projek itu. Semua aktiviti ini hanya boleh dilakukan jika seseorang pelajar itu mempunyai disiplin yang tinggi kerana masa untuk belajar dan beraktivti hanya boleh diseimbangkan menerusi satu disiplin yang tinggi. Oleh itu, pelajar yang melibatkan diri mereka secara aktif dalam aktiviti ini akan mempunyai satu sikap mementingkan disiplin yang tinggi.

Malah, pembabitan pelajar dalam kokurikulum menghasilkan pelajar yang berhati mulia dan baik. Rasa hormat kepada ibu bapa, guru dan rakan sebaya terhasil kerana setiap aktiviti kokurikulum menekankan aspek menghormati orang lain. Kekerapan melakukan aktivit ini secara tidak langsung akan menerapkan nilai-nilai kesopanan yang jitu dalam diri mereka. Jelaslah, kokurikulum mampu membentuk pelajar menjadi pelajar yang memiliki ciri-ciri sopan yang tinggi.

Mungkin satu impak positif kegiatan kokurikulum yang baik ialah aktiviti ini memberikan pelajar satu sikap bersaing yang tinggi. Sikap persaingan positif ini menyebabkan pelajar tidak gentar untuk menghadapi setiap cabaran yang mendatang. Mereka seolah-olah sudah lali untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan dugaan dalam aspek alam persekolahan atau kehidupan biasa mereka. Justeru,

Konklusinya, pelajar yang melibatkan diri mereka dalam aktiviti kokurikulum akan berjaya memiliki satu personaliti yang berkualiti tinggi. Semua ciri yang diutarakan di dalam hujah ini akan membantu mereka untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan dugaan yang besar ini. Cuma pelajar yang sebegini lebih mudah untuk menyelesaikan masalah mereka itu. Slogan 'Pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa” sesuai menjadi pedoman kita dalam aspek ini.


Bencana alam turut berlaku di negara ini. Banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan merupakan antara bencana alam tersebut.

Nyatakan punca-punca dan usaha-usaha menangani masalah ini.


Bencana alam merujuk kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan penduduknya. Negara kita memang sering dilanda banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan kerana pelbagai faktor yang mendorong keadaan ini mudah berlaku terutama ketiak bumi dikatakan sedang mengalami perubahan cuaca yang drastik dalam tempoh yang terdekat ini. Sesungguhnya, ada banyak faktor yang mendorong keadaan ini dan ada banyak langkah yang boleh diambil untuk membendungnya daripada terus berlaku.
Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama kemusnahan hutan belantara negara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Oleh itu, kemusnahan hutan perlulah dipantau dengan lebih teliti oleh pihak kerajaan.
Malahan, keghairahan negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka. Justeru, pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.
Tambahan pula, sikap kita dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya dengan baik.
Sudah pasti langkah yang paling penting dilakukan ialah kerajaan mengetatkan peraturan berkaitan dengan alam sekitar dengan lebih baik. Hukuman yang berat harus dikenakan kepada pesalah-pesalah alam sekitar supaya perkara ini menjadi pengajaran kepada orang lain. Kerajaan harus menjalankan satu usaha pemeriksaan yang holistik tanpa mengecualikan sesiapa jua dalam pemeriksaan ini. Jika kerajaan tegas dalam hal ini, sudah pasti masalah ini mampu diselesaikan dengan mudah.
Malahan, kempen kesedaran terutama kepada generasi muda harus dilaksanakan. Kempen yang dijalankan itu haruslah sesuai dengan minat dan diri remaja kerana merekalah yang bakal menghuni negara ini serta mampu menyelesaikan masalah ini. Kempen yang dijalankan secara terancang mampu menghasilkan satu generasi masyarakat yang menghargai alamnya lebih baik daripada generasi terdahulu. Jelaslah, kempen yang berkesan mampu menangani isu ini dengan lebih baik.
Kesimpulannya, bencana alam akan terus berlaku di negara kita. Sikap masyarakat yang sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggungjawab mereka telah menyebabkan masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap kali bencana alam melanda negara ini setiap kali itulah ada nyawa manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti alam?



Kehadiran pendatang asing telah membawa pelbagai masalah kepada rakyat di negara ini. Cuma kesan-kesan ini turut menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai pendatang asing ini.

Jelaskan kesan-kesan baik dan buruk yang timbul daripada kehadiran pendatang asing ini.


Tenaga kerja asing memang telah menjadi satu isu yang hangat diperkatakan kini. Ada masyarakat yang menganggap pekerja asing ini penting dan ada yang menganggap mereka sebagai pengacau yang harus dibuang jauh. Keadaan ini diburukkan dengan isu ini turut dimainkan oleh media massa yang memang menangguk di air keruh. Jadi, adakah pekerja asing hanya membawa kesan buruk atau memang ada hikmah disebalik kehadiran pekerja luar negara ini?
Sememangnya kehadiran pekerja asing ini sama ada sah atau secara haram mampu memenuhi keperluan sumber tenaga buruh negara yang memuncak. Dalam proses mencapai sebuah negara maju, Malaysia mengalami perkembangan ekonomi yang tinggi sehingga menyebabkan pasaran buruhnya memerlukan pekerja yang ramai. Dalam masa yang sama penduduk tempatan tidak meminati sektor pekerjaan tertentu yang kritikal seperti perladangan dan pekerja asing datang memenuhinya.
Malah, kehadiran pekerja asing itu turut menjadikan pekerja tempatan satu saingan yang menarik. Persaingan ini menyebabkan pekerja tempatan berasa mereka harus meningkatkan kemampuan diri mereka sebaik mungkin agar tidak diganti oleh pekerja asing ini. Pekerja tempatan akan bekerja lebih baik, meningkatkan kemahiran mereka, mencari ilmu yang lebih sesuai dan tidak menimbulkan masalah seperti mogok. Jadi, keadaan persaingan seperti ini menyebabkan ekonomi negera diminati oleh pelabur asing.
Imej negara turut meningkatkan kerana sudah pasti masyarakat antarabangsa menyedari bahawa kebanjiran pekerja asing ini kerana ekonomi negara yang mantap dan berkembang. Negara dilihat sebagai sanggup berkongsi kekayaan dengan negara jirannya. Negara akan dilihat sebagai contoh negara yang maju dalam ekonominya. Negara akan dianggap mempunyai pemimpin dan rakyat yang bersatu dalam mencapai cita-cita negara. Bukankah ini satu pandangan yang kita harapkan daripada negara luar terhadap keupayaan negara kita?
Cuma, kehadiran pekerja asing terutama secara haram ini telah menyebabkan kadar jenayah di negara ini semakin meningkat. Ada pekerja asing yang datang ke sini tidak mempunyai pekerjaan untuk tempoh tertentu dan jenayah menjadi tempat untuk mereka memperoleh sedikit wang bagi membiayai kehidupan diri dan keluarga. Jadi, semakin ramai pekerja asing semakin tinggilah kebarangkalian untuk meningkatnya jenayah di negara kita. Sudah pasti kejadian jenayah ini akan menyukarkan kehidupan rakyat biasa.
Selain itu, pekerja asing yang bekerja di sini setiap bulan menghantar wang balik ke negara asal mereka. Keadaan ini menyebabkan wang itu tidak digunakan untuk membangunkan semula ekonomi negara secara efektif. Sebaliknya, wang negara digunakan untuk menjana ekonomi negara asal pekerja asing itu. Wang negara digunakan untuk membiayai kehidupan keluarga pekerja asing itu. Jadi, keadaan ini tidak sihat terutama untuk jangka masa panjang atau ketika negara dalam kegawatan ekonomi.
Kesimpulannya, pekerja asing ini boleh memusnahkan dan menyelamatkan negara. Mungkin jawapannya bukan kepada jumlah pekerja asing tetapi cara mengawal kedatangan mereka, cara menentukan sektor pekerjaan untuk mereka dan mungkin tempoh bekerja untuk mereka di negara ini. Ringkasnya, masalah ini akan terus menghantui kita buat sekian lama.


Kesihatan sangat penting untuk menjamin kehidupan yang ceria.
Huraikan langah-langkah yang perlu dilakukan untuk menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan kita.


Kesihatan amat penting dalam menjamin keceriaan hidup setiap individu. Kesihatan merujuk satu keadaan tubuh badan yang tidak mengalami sebarang masalah seperti ada penyakit kencing manis dan mudah diserang penyakit berjangkit lain. ada pelbagai langkah yang boeh diamalkan oleh seseorang untuk memiliki tahap kesihatan yang baik.

Aspek pemakanan amat penting dalam menjamin kesihatan yang baik. Seseorang harus mengamalkan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat dalam kehidupannya. Diet yang seimbang memastikan tubuh badan seseorang memilikii semua zat-zat yang diperlukan oleh seseorang itu. Jadi, pemakanan yang sebegini memberikan tahap kesihatan yang baik.

Selain tu, seeseorang harus mengamalkan aktiviti senaman yang tetap. Tindakan melakukan senaman dua atau tiga kali seminggu menyebabkan tubuh badan seseorang berfungsi dengan baik kerana semua toksik telah dikeuarkan menerusi peluh. Rasa tekanan atau stres turut berupaya dihilangkan menerus senaman yang dilakuan itu. Oleh itu, untuk memperoleh kesihatan yang baik kita harus melakukan senaman yang konsisten.

Seseorang itu harus memiliki waktu tidur yang cukup terutama apabila umur mereka semakin meningkat. Tidur yang cukup ini memastikan badan seseorang menerima rehat yang secukupnya selepas penat bekerja terutama di pejabat. Keadaan ini turut memberikan seseorang itu tenaga untuk meneruskan aktivitinya pada esok hari. Maka, waktu tidur yang secukupnya memberi ruang kepada seseorang itu untuk terus memiliki kesihatan yang baik.

Malahan, pemeriksaan kesihatan yang dibuat sepanjang tahun boleh memberi satu perspektif yang baik tentang tahap kesihatan seseorang itu. Pemeriksaan yang kerap ini menyebabkan seseorang itu mengetahui keadaan kesihatan badan mereka dan melakukan beberapa perubahan untuk memastikan mereka dalam keadaan yang seimbang. Sesungguhnya, pemeriksaan kesihatan yang kerap akan memastikan kesihatan seseorang itu dalam keadaan baik.

Kesimpulannya, kesihatan amat penting dalam kehidupan seseorang terutama mereka yang sudah berumur. Penjagaan kesihatan yang berkala ini menjamin kebahagiaan kehidupan seseorang. Walaupun seseorang itu berharta tetapi tida memiliki keshatan yang baik, kehidupannya sudah pasti akan sengsara.


Masalah remaja lari dari rumah mendapat liputan meluas media massa.
Huraikan punca-punca remaja lari dari rumah.


Kemelut remaja lari dari rumah telah menjadi satu isu yang sering diperkatakan. Keadaan inii jelas terpapar menerusi siaran media massa yang menjadi isu ini berita utama mereka. Pelbagai pihak memberikan teori atau pandangan mereka mengenai kemunculan kemelut ini dalam masyarakat kita.

Punca yang paling ketara ialah tekanan ibu bapa. Remaja yang lari dari rumah sering menggunakan alasan tekanan ibu bapa sebagai penyebab utama mereka melakukan perbuatan terkutuk ini. Tekanan ib bapa ini dikaitkan dengan kegagalan ibu bapa untuk memahami keperluan peribadi remaja yang begitu mendesak kini. Ibu bapa sering menyalahkan anak atau tidak memberikan kasih sayang yang sewajarnya kepada remaja. Jadi, kegagalan ibu bapa memainkan peranan mereka menjadi pendorong utama remaja melarikan diri.

Selain itu, remaja lari dari rumah dikatakan berkait rapat dengan pengaruh rakan sebaya. Nasihat yang diberikan oeh rakan sebaya tidak matang dan rasional apabila remaja meluahkan masalah mereka. Keadaan ini berlaku kerana rakan sebaya itu sendiri belum cukup matang dan berpengalaman dalam menangani arus kehidupan yang penuh cabaran ini. Sesungguhnya, rakan sebaya yang memberikan nasihat yang tidak baik akan membawa remaja itu mengambil tindakan untuk melarikan diri.

Remaja lari dari rumah juga dianggap akibat unsur barat yang dipaparkan menerusi media massa terutama media elektronik. Remaja yang suka meniru akan melakukan perkara yang mereka tonton di televisyen tanpa sebarang keraguan lagi. Remaja tidak mampu membezakan lakonan dan realiti kehidupan yang jauh berbeza. Oleh itu, media massa menjadi faktor yang berupaya menimbulkan keinginan remaja untuk lari dari rumah mereka.

Kemelut ini turut dikaitkan dengan sahsiah remaja itu sendiri. Ramai remaja yang tidak mempunyai sikap yang tabah dan positif apabila menghadapi sesuatu kemelut yang melanda diri mereka. Remaja begitu mudah terasa atau berasa sensitif apabila ditegur oleh ibu bapa sehingga sanggup melarikan diri. Jelaslah, keadaan ini membuktikan bahawa masalah ini turut ditentukan oleh sikap remaja zaman ini yang harus lebih kukuh dan tabah.

Kesimpulannya, gejala remaj lari dari rumah ini memang harus ditangani dengan segera demi masa depan remaja kita yang semakin malap ditelan arus kemodenan dunia. Semua pihak terutama masyarakat harus memainan peranan tersendiri dalam menangani kemelut ini. Mungkin kita semua harus menyalahkan diri masing-masing sebelum kita menyalahkan remaja dalam hal ini.


Pencemaran alam telah menjadi satu isu global yang diputuskan oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu. Impak ini memberi kesan yang ketara kepada manusia terutama di Malaysia.

Nyatakan kesan-kesan negatif yang timbul daripada kemelut ini dan langkah mengatasinya.

Pencemaran alam memang telah menjadi satu ancaman utama dalam pembangunan manusia sejagat. Tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengakui berlakunya perubahan cuaca dunia akibat pencemaran yang dilakukan oleh manusia telah membuktikan masalah ini semakin kronik. Pencemaran alam memang disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri sehingga menyebabkan banyak impak negatif yang timbul. Agaknya manusia tidak serik melihat kemusnahan yang mereka lakukan selama ini?
Bencana alam semakin menjadi-jadi terutama di Kuala Lumpur. Kawasan tanah runtuh di Ampang dan Puchong suatu ketika dahulu begitu menakutkan masyarakat di sini. Banjir kilat yang pasti berlaku sebaik sahaja hujan turun menyebabkan masyarakat berjaga-jaga setiap kali musim hujan menjelang. Keadaan ini menyebabkan kehidupan masyarakat dalam risiko dan menimbulkan rasa takut dalam perasaan mereka. Sekali hujan, sekali banjir, sekali Kuala Lumpur berubah.
Tambahan pula, kejadian tanah runtuh dan banjir serta jerebu membawa keadaan kesihatan masyarakat yang kurang baik.Kejadian demam, batuk dan wabak penyakit yang merebak menyebabkan kos rawatan perubatan masyarakat kita terus meningkat. Keadaan ini sudah pasti membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa memikirkan keseinambungan hidup selain mendapatkan rawatan penyakit mereka. Jadi,pencemaran alam memang memberi impak yang ketara dalam kehidupan kita.
Lantaran itu, masyarakat kita terutama generasi muda yang dilahirkan ialah generasi yang sudah terdedah dengan pencemaran alam. Generasi muda kita ialah generasi yang sudah ‘sakit’. Jadi, tidaklah kita terkejut apabila kita sering mendapat khabar tentang golongan belia yang tidak mampu untuk mengharungi cabaran alam yang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. Generasi muda mudah berasa penat dan tidak mampu menyelesaikan masalah fizikal yang mereka tempuhi. Mungkin juga generasi muda kita kekurangan kemahiran mendengar atau mempunyai penyakit lelah sejak kecil.
Imej negara sudah pasti akan terjejas terutama pada mata masyarakat antarabangsa. Pada mereka sikap masyarakat negara ini yang tidak peka yang menyebabkan alam kita tercemar begitu teruk. Kita dipandang sebagai masyarakat materialistik kerana terlalu ghairah memusnahkan alam semata-mata untuk mengaut keuntungan kebendaan. Kehadiran pelancong turut berkurangan bukan sahaja imej negara tetapi kurangnya kawasan untuk dilawati akibat pencemaran alam ini.
Mungkin langkah yang terpenting dalam menangani isu ini ialah kerajaan menguatkuasakan akta yang lebih tegas dan berat hukumannya. Kerajaan hendaklah berani mengambil tindakan bersama-sama menghukum pesalah pencemaran alam ini tanpa rasa segan silu. Kerajaan perlulah mempamerkan sikap yang telus dalam memastikan alam kita terus terbela. Kerajaan merupakan benteng pertama negara dalam menentang pencemaran alam.
Kesimpulannya, semua pihak harus menjadikan alam sebagai fokus perjuangan mereka. Alam bukanlah hak kita tetapi alam warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang. Jadi, alam bukan satu anugerah tetapi satu tanggung jawab yang memerlukan pengorbanan masyarakat untuk memastikan alam terus menerus diwarisi oleh manusia sejagat. Mungkin kali ini kita akan berjaya menangani kemelut yang semakin mencengkam ini.


Permainan tradisional semakin dipinggirkan pada zaman ini.
Pada pendapat anda, perlukan usaha-usaha dilakukan untuk mempertahankan permainan-permainan tradisional?


Apakah definisi permainan tradisional? Sebenarnya menurut Kamus Dewan, permainan tradisional merujuk permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu seperti dalam kes masyarakat kita permainan gasing, wau dan dam menjadi permainan tradisional. Masyarakat kita masih lagi memainkan permainan ini tetapi semakin lama semakin dipinggirkan terutama oleh masyarakat muda di negara ini yang terlalu mengutamakan permainan moden. Peminggiran permainan tradisional ini turut diketengahkan oleh media massa yang sering menyiarkan rungutan penggiat budaya yang menganggap masyarakat belia di negara ini sudah tidak lagi memandang tinggi permainan budaya sendiri. Oleh itu, ada banyak tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan permainan ini terus wujud dalam minda masyarakat kita.
Langkah awal yang boleh dilakukan dalam menangani isu ini ialah kerajaan menyediakan lebih banyak tempat-tempat atau gelanggang untuk memudahkan rakyat memainkan permainan ini. Kewujudan gelanggang ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menikmati permainan ini. Kekerapan bermain permainan ini berupaya untuk mewujudkan satu kesedaran yang hakiki terhadap permainan budaya mereka ini. Oleh itu, pembinaan gelanggang yang cukup oleh pihak berwenang mampu memberi nafas baru kepada keseinambungan permainan warisan budaya ini.
Berkaitan dengan pembinaan gelanggang, pihak kerajaan boleh memajukan permainan ini dengan turut menyediakan jurulatih yang terlatih di setiap gelanggang yang telah disediakan itu. Kewujudan jurulatih ini memastikan masyarakat menerima latihan yang tepat tentang sesuatu permainan itu dan berupaya mengajarkan ilmu itu kepada anak-anak mereka pula. Langkah ini memastikan berlakunya keseinambungan dalam memainkan permainan yang semakin dilupakan lantaran tiadanya tunjuk ajar yang tepat tentang permainan tersebut. Jelaslah, permainan warisan budaya ini akan terus dimainkan jika ada jurulatih yang bertauliah untuk mengajar masyarakat kita.
Selain itu, pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional ni sebagai salah satu bentuk aktiviti kokurikulum yang disertai oleh pelajar. Tindakan ini memastikan pelajar kita terdedah dengan jenis-jenis permainan tradisiona sejak muda lagi dan memahami kepentingan mengekalkan permainan ini. Kesedaran yang dipupuk sejak awal in mampu memberi impak yang mendalam dalam jiwa seseorang pelajar sehinggalah mereka memasuki alam dewasa. Jadi, pihak sekolah wajib menjadikan permainan ini sebagai satu aktiviti sekolah yang penting untuk disertai oleh pelajar.
Malah, permainan tradisional ini boleh dikekalkan jika pihak berkuasa mengadakan promosi yang berkesan tentangnya menerusi media massa. Penayangan iklan yang bersesuaian seperti menjelaskan aspek kepentingan permainan ini boleh menimbulkan kesedaran dalam diri masyarakat. Pemahaman ini kemudiannya akan dijelmakan dalam bentuk masyarakat cuba mengekalkan dan memainkan permainan ini sekerap mungkin dalam hidup mereka. Sesungguhnya, promosi yang sesuai dan kena kepada sasaran memberi satu dimensi baru pada permainan ini untuk terus hidup dan berkembang dalam masyarakat moden kita.
Konklusinya, permainan tradisional boleh dikekalkan jika semua langkah-langkah yang dijelaskan di atas itu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Masalah yang timbul ialah pihak berkuasa tidak mempunyai keinginan politik yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan projek sebegini. Kelesuan minat pihak berkuasa dalam aspek ini bakal menyaksikan permainan tradisional ini semakin dilupakan. Peribahan 'tepuk dada tanya selera' sesuai menjadi renungan kita semua kerana jika kita masih leka mungkin permainan ini akan terus terkubur.


Ponteng Sekolah. Bincangkan.


Ponteng sekolah bermaksud tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang munasabah atau diizinkan. Terdapat beberapa kategori atau jenis ponteng sekolah yang selalu berlaku dalam kalangan pelajar. Antaranya termasuklah tidak hadir ke sekolah sepenuhnya, pergi ke sekolah tetapi tidak sampai di sekolah atau berada di sekolah kemudian keluar dari kawasan sekolah sebelum tiba waktu pulang. Persoalannya ialah apakah punca-punca yang menyebabkan kes ini semakin menjadi-jadi.
Salah satu punca yang dikenal pasti berlakunya kejadian ini ialah pengaruh rakan sebaya. Kebiasaannya mereka telah membuat perancangan yang lebih awal. Mereka telah berpakat supaya mereka dapat mengunjungi tempat yang tertentu. Sebagai contoh, mereka meninggalkan sekolah atau tidak hadir ke sekolah untuk melepak di tempat-tempat yang tertentu sambil berbual-bual kosong, menonton filem, video atau VCD. Jadi, mereka ponteng sekolah kerana hendak menghabiskan masa bersama-sama dengan rakan sebaya mereka.

Selain itu, mereka ponteng sekolah kerana ada daya tarikan dari luar kawasan sekolah. Dalam zaman yang serba canggih ini, banyak kafe siber, pusat hiburan, kompleks beli-belah dan sebagainya wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Mereka menggunakan wang yang diberikan oleh ibu bapa sebagai perbelanjaan di sekolah untuk berseronok-seronok di pusat-pusat hiburan. Sebagai contoh, kebanyakan pelajar yang ponteng sekolah didapati berada di kafe siber atau di pusat snooker. Mereka berpendapat bahawa tempat-tempat seperti itu dapat memberikan kepuasan kepada mereka.

Bukan itu sahaja, mereka ponteng sekolah kerana mereka berasa tertekan dan tidak berminat untuk belajar. Oleh sebab pencapaian mereka lemah atau sederhana, banyak perkara yang diajarkan oleh guru tidak dapat difahami. Hal ini menyebabkan mereka berasa tertekan disebabkan perasaan malu kepada guru atau rakan. Akhirnya, mereka hilang minat untuk belajar. Mereka berpendapat bahawa daripada dimarahi guru atau membuang masa di sekolah, maka adalah lebih baik mereka meninggalkan sekolah dan mencari hiburan di luar kawasan sekolah.

Seterusnya, pelajar ponteng sekolah kerana terbiar atau tidak diambil berat oleh ahli keluarga. Mereka mendapati bahawa ibu bapa mereka terlalu sibuk bekerja untuk mencari pendapatan atau kekayaan. Kebiasaannya ibu bapa seperti ini tidak meluangkan masa untuk bersama-sama dengan anak mereka. Jadi, anak-anak berasa diabaikan dan kurang mendapat belaian dan kasih sayang. Sebagai contoh, ibu bapa yang sibuk tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan guru di sekolah untuk mendapatkan maklumat tentang pencapaian anak-anak di sekolah. Kesannya ialah anak-anak mengabaikan pelajaran dan terbabit dalam gejala ponteng sekolah.

Kesimpulannya, gejala ponteng sekolah merupakan kegiatan yang tidak sihat yang boleh menjejaskan masa depan negara. Cogan kata yang mengatakan bahawa remaja hari ini pemimpin masa depan kemungkinan tidak dapat direalisasikan, jika gejala ponteng sekolah tidak dibanteras. Oleh itu, semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru di sekolah mestilah saling bekerjasama untuk menangani masalah ini dengan bijak.


Sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, anda telah mengunjungi rumah terbuka yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia.
Huraikan kebaikan dan keburukan rumah terbuka itu.


Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah terbuka ini memang perlu diteruskan dan dijadikan amalan kerana banyak kebaikannya. Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang itu untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan masanya sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu akan mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti akan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu, iaitu tak kenal maka tak cinta.
Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama. Sebagai contohnya, orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat mempelajari budaya dan adat resam kaum lain dan berusaha untuk memahaminya. Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.
Selain kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan menimbulkan masalah untuk menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap tetamu yang hadir yang tidak mementingkan aspek kebersihan. Mereka tidak menghiraukan aspek kebersihan dan membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di merata-rata tempat. Perkara ini akan menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan menyusahkan pihak penganjur untuk membersihkannya. Oleh itu, perkara ini perlulah diberikan perhatian agar tetamu yang hadir akan menjaga aspek kebersihan dan tidak mengotorkan tempat itu.
Keburukan lain akibat penganjuran rumah terbuka adalah terdapat pihak yang mementingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan menimbulkan masalah dan kesulitan kepada orang lain yang turut hadir dalam majlis itu. Ada tetamu yang berebut-rebut semasa mengambil makanan atau bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak. Sekiranya mereka menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak menimbulkan masalah, tetapi perkara yang berlaku ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut. Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran berlaku sedangkan ada orang lain yang mungkin tidak mendapat makanan langsung.
Oleh hal yang demikian, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan kebaikan jika difahami dan dihayati oleh anggota masyarakat. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan rumah terbuka akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu seperti kata pepatah, rumah siap pahat berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua anggota masyarakat haruslah memahami dan menghayati konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat dicapai.


Warga tua semakin ramai di negara ini ekoran tahap kesihatan negara yang semakin baik. Cuma jumlah yang banyak ini telah menimbulkan pelbagai masalah pula.

Nyatakan langkah-langkah yang patut dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kehidupan warga tua semakin baik.


Warga emas merupakan golongan yang semakin ramai di negara ini kerana tahap kesihatan negara yang semakin baik. Jadi tidak hairanlah kalau kita sering ternampak warga emas ini. Namun, keadaan ini turut menyebabkan kita terdesak untuk mencari jalan membantu golongan ini semakin ramai supaya mereka mampu menikmati kehidupan dengan lebih baik. Apakah langkah-langkah yang mampu kita lakukan dalam isu ini?

Kerajaan seharusnya memberi mereka lebih banyak insentif dalam menjalani kehidupan harian. Tambang separuh harga untuk pengangkutan awam negara merupakan satu langkah awal. Begitu juga dengan pengangkutan udara dan kereta api. Dalam perkhidmatan kesihatan, kerajaan seharusnya memberikan potongan harga atau rawatan percuma kepada golongan ini dalam penyakit-penyakit tertentu. Maka, langkah ini mampu memberi keselesaan hidup kepada warga emas ini.

Malah, kerajaan harus menyediakan lebih banyak rumah khas untuk warga tua ini. Rumah yang dibina mestilah sesuai dengan mereka yang memerlukan kawasan yang luas, berhampiran taman, laut atau dilengkapi kemudahan kesihatan yang lengkap. Rumah yang disediakan ini harus secara percuma dan didiami oleh beberapa warga tua yang lain untuk menjadikan suasana di rumah itu lebih ceria dan menarik. Reka bentuk rumah tersebut haruslah moden dan tidak nampak membosankan.

Selain itu, kerajaan harus mengadakan satu majlis khas atau tarikh untuk warga emas ini. Pada hari yang sudah diumumkan cuti umum itu, kerajaan perlulah mengadakan pelbagai aktiviti yang bercorak warga emas. Aktiviti beramah mesra dengan generasi muda harus dijalankan terutama untuk memberi kesedaran betapa warga emas dan muda saling memerlukan antara mereka. Interaksi ini turut memberi remaja satu peluang mendengar pengalaman yang dialami oleh warga emas.

Lantaran itu, kerajaan perlu mengadakan program bercorak ekonomi yang mampu menjana pendapatan kepada warga emas ini. Pendapatan itu pula boleh disalurkan untuk kepentingan warga tersebut. Semua aktiviti yang dijalankan mestilah bersesuaian dengan keadaan fizikal warga emas. Langkah ini turut menjadikan kehidupan mereka lebih menarik dan tidak membosankan. Warga emas turut berpeluang untuk menggunakan idea mereka ke arah sesuatu yang lebih bermakna.

Jadi, warga emas seharusnya dibelai dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Warga emas mempunyai satu pengalaman yang mampu dipelajari oleh semua orang. Warga emas mampu memberi nasihat dan pandangan terhadap sesuatu perkara yang berlaku kerana mereka telah mengalami semua perkara yang bakal dialami oleh masyarakat. Kita harus menjaga warga emas setelah mereka menjaga kita selama ini.


Isu Pengangkutan Awam

Rangkaian pengangkutan awam di negara kita meliputi pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.
Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.
Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.
Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan. Contohnya, antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.
Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.
Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak tetapi rumit untuk diselesaikan. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, pihak kerajaan harus membuat tindakan drastik menangani isu ini. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas bagi mengatasi kemelut ini.